Saturday, April 6, 2013

PENGLIBATAN KERAJAAN TURKI UTHMANIYAH DALAM PERANG DUNIA PERTAMA

1.      PENDAHULUAN

Penulisan ini membincangkan tentang Perang Dunia Pertama yang berlarutan dari tahun 1914 sehingga 1918. Peperangan ini melibatkan pertempuran di antara dua buah pihak, iaitu Kuasa Bersekutu yang dikenali juga sebagai Kuasa Berikat  dan Kuasa Pusat. Perang Dunia Pertama ini berlaku disebabkan oleh faktor politik dan ekonomi. Penulisan ini juga membincangkan tentang penglibatan kerajaan Turki Uthmaniyyah dalam perang tersebut serta faktor utama yang mendorong kerajaan Turki Uthmaniyah membuat keputusan untuk terlibat sama dalam perang tersebut. Perang Dunia Pertama berakhir dengan pengisytiharan kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dan sekutunya. Rentetan daripada kekalahan ini, ia telah mengubah sistem politik dan pemerintahan Turki Uthmaniyah yang seterusnya. 


2.      LATAR BELAKANG PERANG DUNIA PERTAMA

Perang Dunia Pertama telah meletus bermula pada 28 Julai 1914 sehingga 11 November 1918. Peperangan ini melibatkan pertempuran di antara dua buah pihak, iaitu Kuasa Bersekutu yang dikenali juga sebagai Kuasa Berikat  dan Kuasa Pusat. Kuasa Bersekutu terdiri daripada kebanyakan kuasa barat seperti Perancis, Russia, Britain, Amerika Syarikat, Itali dan Kanada. Manakala Kuasa Pusat pula terdiri daripada Jerman, Australia-Hungary,Turki dan Bulgaria. Peperangan ini bermula di Balkan dan merebak dari sebuah negara ke negara yang lain sehingga akhirnya hampir keseluruhan negara di dunia terlibat dalam Perang Dunia Pertama ini ( http://www.tatsachen ).

Dawlah Uthmaniyah merupakan satu-satunya kuasa Islam yang terlibat dalam peperangan ini. Kesan daripada perang ini amat besar ke atas dunia Islam dalam mencorakkan senario politik umat Islam.


2.1    FAKTOR TERCETUSNYA PERANG DUNIA PERTAMA
Perang Dunia Pertama berlaku disebabkan oleh faktor politik dan ekonomi. Antara faktor politik termasuklah kemunculan nasionalisme dan sistem pakatan negara-negara Eropah, iaitu Perikatan Kuasa Tengah dan Pakatan Bertiga. Faktor ekonomi pula melibatkan persaingan kuasa-kuasa besar merebut peluang ekonomi ( http://www.tatsachen ).

Pada penghujung abad ke-19, negara-negara kecil di Eropah telah bersatu dan membentuk sebuah bangsa yang lebih besar, contohnya Jerman dan Itali. Kedua-dua negara ini menyertai kuasa besar Eropah yang lain seperti Britain, Perancis, Austria-Hungary dan Rusia dalam usaha mendapatkan tanah jajahan. Nasionalisme yang kuat menyebabkan kuasa-kuasa besar ini sanggup berperang bagi membuktikan kekuasaan masing-masing. Menjelang penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, persaingan sengit berlaku di kalangan kuasa Eropah ini akibat Imperialisme Baru. Kuasa besar mula bersaing bagi membentuk lingkungan pengaruh masing-masing untuk mendapatkan bahan mentah serta untuk memasarkan barangan siap mereka ( http://www.tatsachen ).


2.2   SENARIO SEBELUM TERCETUSNYA PERANG

Peperangan Crimea dan juga konflik di Balkan menggugat Turki Uthmaniyah. Wilayah Balkan yang diduduki oleh pelbagai bangsa seperti Serbia, Greek, Slavia dan Romania (Kristian) mendesak kuasa autonomi. Kegawatan masalah di rantau Balkan membawa kepada Perang Dunia Pertama. Austria dianggap sebagai pencetus yang membawa kepada konflik tersebut  dan mengheret kuasa Eropah yang lain ke dalam kancah peperangan. Pada Mac 1914, akhbar-akhbar di Austria mengumumkan bahawa Archduke Franz Ferdinand putera mahkota Austria dan isterinya Countess Sophie akan melawat Sarajevo, ibu negara Bosnia pada 28 Jun 1914. Hari tersebut merupakan tarikh yang amat sensitif bagi Serbia kerana mencatatkan kekalahan mereka di Kosovo yang menghalang kemerdekaan mereka.
Kolonel Dimitrievich (Ketua  Risikan Serbia), melatih Gavrilo Princip, menembak menggunakan bahan letupan di Belgrade sebagai persediaan untuk melakukan pembunuhan pada 28 Jun 1914.

Pada 28 Jun 1914, Archduke Franz Ferdinand, putera mahkota Habsburg dari Austria-Hungary bersama isterinya, Sophie telah dibunuh di Sarajevo, Bosnia oleh  Kumpulan Tangan Hitam. Bosnia merupakan kawasan Austria yang dituntuti oleh Serbia, sebuah negara Balka yang kecil di mana pembunuhan tersebut telah dirancang. Dengan sokongan negara Jerman, Austria-Hungary memutuskan menghukum Serbia. Peristiwa tersebut merupakan titik tolak bermulanya peperangan Australia-Hungary dengan Serbia yang kemudiannya merebak menjadi Perang Dunia Pertama ( http://www.tatsachen ).

Austria-Hungary mula menyerang Serbia pada 28 Julai 1914. Rusia membuat penyediaan untuk menyokong Serbia dan diserang oleh Jerman. Negara Perancis pula menyokong Rusia dan Jerman juga menyerangnya. Pada 3 Ogos 1914, Jerman mengisytiharkan perang ke atas Perancis apabila berlakunya serangan bom oleh tentera udara Perancis berhampiran wilayah Karlsruhe dan Nuremburg. Untuk sampai di Paris dengan secepat mungkin, pada 4 Ogos 1914, tentera Jerman bergerak melalui Belgium dan menyerang Belgium, sebuah negara yang berkecuali. British mengarahkan agar Jerman berundur tetapi ditolak. Pada tarikh tersebut, British mengisytiharkan perang ke atas Jerman. Peristiwa ini kemudiannya membawa kepada Perang Dunia Pertama.

Pada permulaannya, negara Jerman memenangi peperangan itu akan tetapi negara Perancis, Britain dan Rusia terus bertempur. Sewaktu peperangan berlanjutan, negara-negara lain bercampur tangan. Hampir kesemuanya memihak dengan Tentera Bersekutu. Pada tahun 1915, Itali menyertai Tentera Bersekutu kerana ingin menguasai tanah Austria. Dan pada tahun 1917, Amerika Syarikat memasuki peperangan memihak Tentera Bersekutu.


3.      PENGLIBATAN KERAJAAN TURKI UTHMANIYAH DALAM PERANG DUNIA PERTAMA

Empayar Turki Uthmaniyah tidak dapat mengelak daripada tempias peperangan itu. Peperangan itu berpunca daripada perebutan antara kuasa-kuasa besar untuk menguasai Bosnia-Herzegovina, bekas wilayah Turki Uthmaniyah di Eropah. Sejak pertengahan abad ke-19 lagi kuasa-kuasa Eropah, khususnya Rusia, berhasrat untuk menguasai bumi Turki Uthmaniyah. Rusia menghasut Serbia di Bosnia –Herzegovina supaya memberontak terhadap kerajaan Islam Turki Uthmaniyah pada 1878. Empayar Turki Uthmaniyah masih dapat bartahan daripada tekanan Rusia kerana Britain memihak kepadanya. Walau bagaimanapun, apabila Britain berbaik dengan Rusia pada 1907, dan sebelum itu berbaik dengan Perancis pada 1904, keselamatan empayar Turki Uthmaniyah mula tergugat. Kuasa-kuasa eropah itu berpakat hendak mengusir empayar Turki dan meruntuhkan pemerintahan khalifah. Keruntuhan empayar Turki yang menjadi penaung kepada umat Islam sejagat, akan memudahkan mereka menguasai dunia. Persidangan Gereja-gereja Kristian di Kaherah pada 1909 mendesak kuasa-kuasa besar menyekat kebangkitan Islam yang dianggap berbahaya     ( Abdul Raub bin Yaacob. 1995 ) (Farid Mat Zain. 2009: 90)

Semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama,  Jerman kelihatan keseorangan berbanding kuasa Eropah yang lain dan berharap agar Turki Uthmaniyah dapat menyebelahinya. Perbincangan serius pakatan Jerman-dawlah Uthmaniyah bermula pada 18 Julai 1914. Enver Pasha dan Perdana Menteri Said Halim memberikan tawaran kerjasama secara rasmi kepada Wangenheim dan Pallavicini pada 22 Julai 1914. Tiga orang pemimpin Turki Muda dalam Committee of Union and Progress (C.U.P) iaitu Enver, Talaat dan Jamal Pasha  bertanggungjawab mengambil keputusan mengheret dawlah Uthmaniyah dalam peperangan tersebut. Enver dan Talaat Pasha cenderung menyokong Jerman manakala Jamal lebih berpihak kepada berkecuali. Perdana Menteri Said Halim Pasha dan Enver Pasha menandatangani perjanjian rahsia pada 2 Ogos 1914 yang menyokong Jerman sekiranya  dapat memberikan bantuan dalam menghadapi ancaman dari pihak luar.

Turki Uthmaniyah memberi kepercayaan kepada Jerman kerana Jerman tidak seperti Britain, Perancis, dan Rusia yang mana Jerman tidak menjajah negara umat Islam. Oleh kerana itu, Jerman tidak dianggap sebagai kuasa imperialis. Kaiser William menonjolkan imejnya sebagai pembela umat Islam. Dengan bersekutu dengan Jerman dan Australia, Turki Uthmaniyah berharap empayarnya dapat dipertahankan daripada ancaman Rusia. Perjanjian ini dihadiri oleh pegawai tinggi dawlah Uthmaniyah iaitu Perdana Menteri, Said Halim, Menteri Peperangan, Enver, Menteri Dalam Negeri, Talaat  dan Ketua Parlimen, Halil Bey    ( Abdul Raub bin Yaacob. 1995 ) (Farid Mat Zain. 2009: 90).

Apabila perang meletus antara Jerman dengan Britain, kerajaan Turki Uthmaniyah membenarkan Jerman menempatkan dua buah kapal perangnya, Goeben dan Breslau di Selatan Darnelles. Pada 17 September 1914, kerajaan Turki Uthmaniyah menutup selat tersebut. Perluasan pengaruh Jerman di Turki Uthmaniyah dianggap oleh Britain sebagai satu ancaman kepada kepentingannya. Pengawalan Selat Darnelles oleh Jerman menghalang kapal perang British memasuki Laut Hitam. Pada 5 November 1914, Britain mengisytiharkan perang terhadap Turki Uthmaniayh ( Abdul Raub bin Yaacob. 1995 ) ( Farid Mat Zain. 2009: 91 ).


3.1    SERUAN JIHAD DAN RESPON DARIPADA MASYARAKAT LUAR TERHADAP PENGLIBATAN KERAJAAN TURKI UTHMANIYAH DALAM PERANG DUNIA PERTAMA

Penglibatan dawlah Uthmaniyah  dalam perang yang menyebelahi Jerman menghampakan sebahagian pemimpin umat Islam di India. Walau bagaimanapun kesetiaan dan simpati mereka masih diberikan kepada bangsa Turki dan Sultan Uthmaniyah yang diiktiraf sebagai pemimpin yang dapat menyatukan seluruh umat Islam. Muhammad Ali pemimpin gerakan Khilafah di India menyuarakan pandangan beliau dalam artikel yang tajam bertajuk “The Choice of the Turks” dalam akhbar Comrade  bertarikh 26 September 1914. Dalam artikel ini Muhammad Ali menjelaskan bahawa dawlah Uthmaniyah harus membuat pilihan yang bijak dan pilihan yang terbaik ialah bersikap berkecuali.

Pengisytiharan perang oleh Britain pada 5 November 1914 dan Rusia pada 2 November 1914 memaksa kerajaan Turki Uthmaniyah mengeluarkan fatwa yang dikenali sebagai Jihad –i-Ekbar Fard-iAynon pada 11 November 1914. Fatwa tersebut ditandatangani oleh Sheikh al-Islam, Khayri Effendi. Fatwa itu mengisytiharkan jihad terhadap Britain, Perancis, Rusia dan sekutunya. Pengisytiharan jihad disiarkan oleh akhbar Tanin pada hari berikutnya  di bawah tajuk Jihad-i ekbar, Far-zi ‘. Ia menyeru umat Islam di seluruh dunia yang ditindas oleh kuasa-kuasa penjajah itu bangkit untuk berjihad bersama kerajaan Turki Uthmaniyah dengan nyawa dan harta ( Farid Mat Zain. 2009: 91 ).

Sehubungan ini Sheikh al-Islam memetik ayat al-Quran yang bermaksud:

Pergilah kamu beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah sama ada dengan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu pada jalan Allah untuk membela umat Islam”  (Surah al-Taubah, 41).

“Perangilah mereka nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memusnahkan hati orang yang tidak beriman.” (Surah al-Taubah, 14).

Pengisytiharan jihad oleh dawlah Uthmaniyah mendapat sambutan umat Islam di India.
Golongan ulama di Deoband, mengadakan hubungan dan memberikan sokongan kepada dawlah Uthmaniyah. Mahmud al-Hassan iaitu seorang ulama di Deoband, pergi ke Hijaz dan mengadakan pertemuan dengan Gabenor Ghalib Pasha dan  Menteri Turki Uthmaniyah iaitu Jamal dan Enver Pasha. Mahmud al-Hassan menyampaikan rayuan agar dawlah Uthmaniyah dan juga sekutunya menyokong India yang menuntut ke arah berkerajaan sendiri.

Manakala di Hijaz, Sharif Husayn mendapat sokongan British melakukan pemberontakan menentang dawlah Uthmaniyah. Beliau  mendapatkan fatwa daripada ulama di Makkah yang menuduh bahawa orang Uthmaniyah ghairah dengan penggulingan Sultan Abdul Hamid II. Fatwa baru ini menafikan hak orang Uthmaniyah sebagai khalifah kerana bukan dari keturunan Quraysh dan menyokong hasrat Sharif Husayn untuk menjadi khalifah kepada seluruh umat Islam. Mahmud al-Hassan menolak untuk menandatangani fatwa tersebut. Beliau ditangkap oleh orang Sharif Husayn dan kemudiannya dipenjarakan oleh pihak British di Malta dari tahun 1917-1920.

Peperangan antara Turki Uthmaniyah dengan Britain mendapat perhatian serius orang Melayu. Mereka menganggap peperangan itu sebagai perang Salib baru yang dilancarkan oleh Kristian Eropah terhadap umat Islam di Timur Tengah. Pada kemuncak Perang Balkan (1912-1913), akhbar-akhbar Melayu, seperti Neracha bukan sahaja menyiarkan berita peperangan itu tetapi juga menyokong dan membela kerajaan Turki Uthmaniyah. Neracha menyiarkan latar belakang perang antara Turki Uthmaniyah dengan kuasa-kuasa Eropah. Neracha juga mengutip derma untuk membantu Kerajaan Turki Uthmaniyah membeli senjata dan peluru ( Farid Mat Zain. 2009: 92 ).

Kempen akhbar-akhbar Melayu itu Berjaya mempengaruhi umat Islam di Tanah Melayu. Bagi orang Melayu, Kerajaan Turki Uthmaniyah adalah penaung umat Islam di seluruh dunia. Kerajaan Turki Uthmaniyah adalah penjaga dua kota suci umat Islam Mekah dan Madinah. Kekalahan Kerajaan Turki Uthmaniyah bukan sahaja menjejaskan maruah umat Islam tetapi juga mendedahkan bumi umat Islam kepada imperialism Barat ( Farid Mat Zain. 2009: 92 ).

Perkembangan di Tanah Melayu diawasi oleh British dengan teliti dan waspada. Pihak British bimbang dengan kemungkinan orang Melayu akan menyambut seruan jihad di atas faktor persaudaraan sesama Islam. Justeru itu, beberapa langkah diambil oleh pihak berkuasa British di Tanah Melayu untuk mematahkan  seruan jihad itu. Selain melarang akhbar-akhbar tempatan menyiarkan berita peperangan Turki Uthmaniyah-Britain, Raja Melayu dan pegawai-pegawainya juga dipaksa berikrar dan memihak kepada British dan setia kepada mahkota British. Raja-raja Melayu juga dipaksa mengadakan majlis sembahyang hajat supaya Britain menang dalam peperangan tersebut ( Mohamad Redzuan Othman. 1999:1 )     ( Farid Mat Zain. 2009: 31 dan 92 ).

Pihak British juga mengeluarkan undang-undang melarang orang Melayu daripada menyatakan sokongan terhadap kerajaan Turki Uthmaniyah ataupun  menunjukkan sebarang usaha untuk bersahabat atau bersimpati dengan kerajaan tersebut dalam peperangannya menentang Britain. Hukuman berat akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar larangan tersebut ( Farid Mat Zain. 2009: 92 ).

Sultan Perak jelas menyatakan pendiriannya menyokong pihak British demi menjaga keamanan orang Melayu. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan turut menyarankan agar askar Melayu menyebelahi pihak British. Sultan Selangor pula menyatakan rasa kekesalannya kerana kerajaan Turki Uthmaniyah mengisytiharkan perang terhadap pihak Britain. Walau bagaimanapun, dari segi keagamaan, baginda Sultan Selangor sebenarnya menyebelahi kerajaan Turki Uthmaniyah, akan tetapi demi menjaga keamanan negeri, baginda menyebelahi British. Baginda mengeluarkan perintah agar umat Islam di  Selangor hanya menyokong pihak British ( Farid Mat Zain. 2009: 32 ).

Pihak berkuasa British juga mengedarkan kenyataan Sultan Sir Mohammad Shah atau dikenali juga sebagai Agha Khan mengenai peperangan Turki Uthmaniyah dengan Britain. Agha Khan adalah Imam Mazhab Ismaili (Syiah), dan Presiden Liga Muslim India. Dengan membuat demikian, pihak British berharap ia akan mengurangkan semangat pro-Turki dalam kalangan orang Melayu. Agha Khan menganggap peperengan itu tidak ada kaitan dengan agama Islam. Sebaliknya Agha Khan menyalahkan kerajaan Turki Uthmaniyah kerana memihak kepada Jerman yang dianggap sebagai pengancam umat Islam.  Andainya Jerman menang dalam peperangan itu, umat Islam tidak akan lagi berpeluang menunaikan fardhu haji di tanah suci Mekah dan Madinah ( Farid Mat Zain. 2009: 93 ). 

Secara keseluruhannya dapat dilihat pendekatan British yang bimbang sekiranya masyarakat Melayu menyokong kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Keamanan dan kestabilan  masyarakat dijadikan pertaruhan agar orang Melayu tidak menyokong atau menyebelahi kerajaan Turki Uthmaniyah. Kuasa Barat itu ternyata sangat licik dalam mempergunakan sultan untuk menjaga kedudukan dan kepentingan mereka di Semenanjung Tanah Melayu.


3.2    KESAN PERANG DUNIA PERTAMA TERHADAP KERAJAAN TURKI UTHMANIYAH

Kekuatan Tentera Bersekutu amat luar biasa.  Jerman kelihatan hampir-hampir memenangi peperangan itu. Selepas 1914, Jerman menguasai Luxemborg, kebanyakan Belgium, serta sebahagian daripada Perancis Utara. Jerman juga menang di Barisan Timur ketika usaha Rusia tergagal. Akan tetapi menjelang 1918, tentera Jerman telah mengalami kelemahan. Bekalannya tidak mencukupi dan terdapatnya pergolakan sosial di dalam negara sendiri. Pada waktu yang sama, semakin ramai tentera Amerika Syarikat baru tiba untuk mengukuhkan Tentera Bersekutu. Pada musim panas 1918, tentera Amerika Syarikat membantu menentangi serangan Jerman yang terakhir di barat. Jerman menurunkan tandatangan perjanjian gencatan senjata pada 11 November 1918 ( http://www.tatsachen ).

Perang Dunia Pertama ke atas umat Islam berakhir dengan penguasaan Tentera Bersekutu ke atas Istanbul. Satu perjanjian ditandatangani sebagai tanda berakhirnya perang dengan Turki Uthmaniyah pada tahun 1919. Pemimpin-pemimpin CUP dihukum dan dibuang negeri ( Farid Mat Zain. 2009: 106 ).

Setelah perang tamat dengan kekalahan pakatan kerajaan Turki Uthmaniyah dengan Jerman, dunia Islam telah memulakan era baru. Kerajaan Turki Uthmaniyah bukan sahaja terpaksa bersetuju melepaskan seluruh wilayahnya di Timur Tengah yang merupakan sebahagian daripada keagungannya pada masa lampau, bahkan terpaksa pula berjuang mempertahankan tanah air mereka di Anatolia dan persekitarannya daripada menjadi rebuatn kuasa-kuasa asing. Ekorannya, Timur Tengah telah dipersetujui untuk diletakkan di bawah kuasa ‘mandat’. Antara wilayah yang diletakkan di bawah kuasa ‘mandat’ ialah Syria bersama Lubnan yang diserahkan kepada British. Ini tidak termasuk wilayah-wilayah lain yang diletakkan secara langsung di bawah pengaruh British seperti Iraq, Jordan dan Mesir atau dalam bentuk ikatan perjanjian dengan pemimpin-pemimpin tempatan seperti di Arabia ( Farid Mat Zain. 2009: 73 dan 74 ).

Di bawah Perjanjian Versailles yang ditandatangani selepas Perang Dunia I, negara Jerman menyerahkan tanah-tanah jajahan dan sebahagian daripada wilayah Eropahnya. Poland diasaskan semula dan menerima Posen (sekarang digelar Poznani), sebahagian Silesia serta sebahagian Prussia Barat. Alsace dan bahagian Lorraine yang dikuasai oleh Jerman dipulangkan kepada negara Perancis. Negara Perancis juga dapat menguasai kawasan Saar selama 15 tahun. Perjanjian ini juga meletakkan Rhineland di bawah pendudukan Tentera Bersekutu selama 15 tahun. Bilangan tentera Jerman dikecilkan tidak melebihi 100,000 askar serta dilarang mempunyai tentara udara. Jerman juga perlu membayar Tentera Bersekutu pampasan perang yang sungguh besar ( http://www.tatsachen ).

Gerakan pembebasan Turki berjaya mengusir Britain dari bumi Turki Uthmaniyah pada tahun 1922. Pada 29 Oktober 1923, Turki diisytiharkan secara rasminya sebagai sebuah negara sekular yang memakai nama ‘Republik Turki’. Pengisytiharan ini dibuat setelah berlakunya pemansuhan kuasa sultan pada 1 November 1922 dan yang paling menyayat lagi ialah dengan lenyapnya asas kekuatan dan keagungan Dunia Islam, ‘Khilafah Islamiyah’ pada 3 Mac 1924 ( Farid Mat Zain. 2009: 129 ).

Sebaik sahaja Mustafa Kamal Attartuk dilantik menjadi pemimpin negara Turki Moden, beliau melaksanakan program pembaratan dan pensekularan yang merangkumi penamatan institusi Khilafah Uthmaniyah dan penutupan madrasah serta mewujudkan sistem pendidikan sekular (1924); pengharaman amalan tariqat dan penutupan tempat-tempat tariqat diamalkan (tekke), penutupan makam-makam wali (turbe) dan penguatkuasaan pemakaian topi ala Barat dan peraturan yang mengharamkan berpakaian cara Islam (1925); pelaksanaan undang-undang Barat, pengenalan sistem timbang serta sukat mengikut Barat dan pengenalan Kalendar Gregorian (1926); penukaran penulisan kepada tulisan Rumi bagi menggantikan tulisan Arab dan mengakhiri Islam sebagai agama rasmi negara (1928); penamatan pengajaran bahasa Arab dan Parsi di sekolah rendah dan menengah kerajaan (1929); memberikan hak mengundi dan memegang jawatan dalam perkhidmatan awam kepada wanita (1930-1935); dan akhirnya, penerimaan sekularisme dan revolusionisme sebagai prinsip dasar dalam perlembagaan Turki (1937). Ternyata bahawa tindakan yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Attartuk dengan melaksanakan pembaratan dan pensekularan mencetuskan rasa tidak puas hati daripada pelbagai pihak.  Ada yang melabelkan beliau sebagai mengkhianati perjuangan Islam ( Farid Mat Zain. 2009: 203 dan 204 ).

Dianggarkan terdapat 8.6 juta mangsa peperangan ketika Perang Dunia I. Pihak Bersekutu kehilangan 5.1 juta orang sementara Kuasa-kuasa Pusat 3.5 juta. Peperangan tersebut mengakibatkan kemusnahan besar kepada negara-negara yang terlibat dan dikenali sebagai "peperangan untuk mengakhiri semua peperangan" sehinggalah Perang Dunia II berlaku ( http://www.tatsachen ).


4.      KESIMPULAN

Senario sebelum Perang Dunia Pertama menunjukkan konflik berlaku di antara kuasa Eropah dan ketidakstabilan di rantau Balkan. Keputusan pemimpin Turki Muda membawa kepada penglibatan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam peperangan menyokong Jerman. Perang Dunia Pertama ini  bermula 1914 dan berlanjutan sehingga 1918 dan menyaksikan kekalahan berpihak kepada pasukan Jerman dan sekutunya termasuklah kerajaan Turki Uthmaniyah. Dengan runtuhnya Empayar Turki Uthmaniyah, berakhirlah pemerintahan Khalifah yang menjadi penaung dan pelindung umat Islam. Kesan daripada Perang Dunia Pertama membawa pembentukan negara-bangsa di Eropah dan juga Timur Tengah. Sejak itu bumi Islam menjadi mangsa penjajahan Barat. Penjajahan mengakibatkan umat Islam menjadi hina, mundur dan lemah. Perjuangan untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu penjajahan Barat mengambil masa yang lama. Justeru, Islam mewajibkan umatnya mempertahankan tanah air daripada sebarang bentuk pencerobohan dan penjajahan asing.


RUJUKAN

Farid Mat Zain. 2009. Daulah Utmaniyah dan Alam Melayu: Detik Kejatuhan Khilafah Islamiyah di Turki 1924 dan Reaksi Orang Melayu. Shah Alam: Karisma Publication Snd. Bhd.
Ibnu Ahmadain al-Barlisi. 2011. Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisis Ke Atas Peranan Gerakan “Wahhabiyyah”. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.
Abdullah Azzam. 2009. Turki Negara Dua Wajah: Pengkhianatan Atartuk Terhadap Dunia Islam. Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise.
Abdul Raub bin Yaacob, ‘Hubungan Arabia dengan British pada masa Perang Dunia Pertama, 1914-1918’, JEBAT, 25,1995.
Mohamad Redzuan Othman. 1999. Reaksi Masyarakat Melayu Terhadap Revolusi Kemal dan Pembentukan Negara Turki Moden. Seminar Sejarah Malaysia Kedua. Universiti Kebangsaan Malaysia.

10 comments: