1.0 PENDAHULUAN
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahnya saya dapat menyiapkan tugasan yang diberikan kepada saya. Tugasan saya ini berkisar tentang riwayat hidup tokoh tatabahasa Arab dan tokoh yang menjadi pilihan saya adalah Abu Bishr ‘Amru ibn ‘Uthman ibn Qanbar atau lebih dikenali dengan nama Sibawayh.
Sibawayh merupakan antara tokoh ilmu tatabahasa Arab aliran Basrah yang terkenal. Beliau telah berjaya menghasilkan sebuah kitab yang cukup masyhur sehingga dijadikan sebagai bahan rujukan oleh setiap ahli bahasa Arab yang muncul selepas zamannya. Kitabnya juga masih dipelajari sehingga saat ini dan ia juga telah diedar ke pelbagai kawasan.
Antara isi kandungan kitab ini ialah tentang kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip bahasa Arab iaitu merangkumi ilmu nahu dan ilmu soraf. Kosakata Arab dan gaya bahasanya amat jelas dan mudah difahami dan ia belum pernah dihasilkan sebelum ini.
Sibawayh merupakan seorang yang rajin dan tidak pernah jemu dalam menuntut ilmu. Beliau juga seorang yang kuat keazaman, bersungguh-sungguh , jujur dan sangat pakar dalam bidang yang diterokainya.
Sibawayh juga pernah berguru dengan beberapa orang guru. Beliau banyak mengisi masanya dengan menuntut ilmu daripada gurunya, al-Khalil ibn Ahmad ibn ‘Amru ibn Tamim al-Farahidi. Selain itu, beliau juga pernah berguru dengan Hammad ibn Salamah ibn Dinar al-Basri, Isa ibn ‘Amru al-Saqafi al-Basri, al-Akhfasy al-Kabir, Yunus ibn Habib al-Basri, Harun ibn Musa al-Basri dan juga Abu ‘Amru al-Ala’.
2.0 RIWAYAT HIDUP SIBAWAYH
Nama penuh beliau adalah Abu Bishr ‘Amru ibn ‘Uthman ibn Qanbar. Beliau berasal daripada bani al-Harith ibn Ka’ab. Beliau juga merupakan salah seorang daripada tokoh ahli tatabahasa Arab yang terkenal yang berasal dari Parsi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan “ Sibawayh ” dan ada pendapat yang mengatakan bahawa gelaran itu merupakan nama timangan yang diberikan oleh ibunya sejak beliau masih kecil lagi. Perkataan “ Sibawayh ” berasal daripada bahasa Parsi yang bermaksud wangian epal, iaitu gabungan daripada perkaataan “ sib ” ( epal ) dan “ wayh ” ( wangi ) ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17, Nina M. Armando. 2005: 202 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Ada beberapa riwayat yang menyebut tentang asal-usul nama gelaran beliau itu. Ada yang mengatakan bahawa beliau mendapat gelaran itu kerana kedua-dua pipinya bagaikan buah epal. Pendapat yang lain mengatakan bahawa gelaran itu diberikan kepadanya kerana setiap kali orang berjumpa dengannya selalu mencium bau wangian minyak epal yang sering digunakannya. Selain itu, ada juga yang mengatakan panggilan itu berikutan oleh tingkah lakunya yang lembut ( Nina M. Armando. 2005: 202 ).
Tahun kelahiran Sibawayh tiada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat. Menurut Muhammad al-Anbari ( 513 H/ 1119 M-577 H/ 1181 M ) iaitu seorang sejarawan sastera menyatakan di dalam kitabnya yang berjudul “ Nuzhah al-Alibba fi Tabaqat al-Udaba’ ( Pemandangan Indah tentang Peringkat Para Sasterawan ) bahawa Sibawayh meninggal dunia ketika berusia 40 tahun. Menurut pendapat yang masyhur, tahun kewafatannya adalah pada 177 H/ 794 M. Berdasarkan pendapat ini, maka dapatlah disimpulkan bahawa tahun kelahirannya adalah pada tahun 137 H/ 755 M ( Nina M. Armando. 2005: 202 ).
Terdapat beberapa pendapat tentang tempat kelahiran sebenar Sibawayh. Kebanyakan sejarawan berpendapat bahawa Sibawayh dilahirkan di al-Baida’, iaitu sebuah desa di Ustukhar, Parsi. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Ahwaz, Parsi. Walau bagaimanapun, yang pasti beliau telah dibesarkan di kota Basrah yang mana pada zamannya
Basrah merupakan sebuah pusat ilmu pengetahuan dan peradaban di samping Mekah, Madinah dan Kufah ( Nina M. Armando. 2005: 202 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Sibawayh telah meninggal dunia pada tahun 177 H/ 794 M. Namun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau meninggal pada tahun 180 H. Kenyataan ini diambil daripada pendapat yang masyhur ( Nina M. Armando. 2005: 202 dan Syawqi Dayf. 1972: 59 ).
Di sini terdapat beberapa pendapat tentang tempat kewafatannya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa beliau meninggal dunia setelah kembali ke kampung halamannya, al-Baida’. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa beliau meninggal dunia di Syiraz, di Hamzan ataupun di Sawat ( Nina M. Armando. 2005: 202 dan Syawqi Dayf. 1972: 59 ).
3.0 PENGAJIAN SIBAWAYH
Semenjak usia remaja lagi Sibawayh merantau ke kota Basrah semata-mata untuk menuntut ilmu daripada para ulama’ di sana. Pada usia muda itu, beliau sering mengikuti halaqah ilmiah dalam bidang fiqh dan hadis. Pada peringkat awal, Sibawayh telah berguru dengan Hammad ibn Salamah ibn Dinar al-Basri ( 167 H/ 784 M ) yang merupakan seorang ahli hadis yang terkenal pada zamannya. Hammad ibn Salamah juga pernah menjawat jawatan di jabatan mufti di kota Basrah ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17, Nina M. Armando. 2005: 202 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Sewaktu menuntut ilmu hadis daripada gurunya, Hammad ibn Salamah, Sibawayh menghadapi kesulitan dalam memahami beberapa hadis kerana memampuan bahasa Arabnya amat terbatas. Atas nasihat gurunya, Sibawayh kemudiannya bertekad untuk mendalami ilmu bahasa Arab. Ada juga riwayat yang menceritakan bahawa Sibawayh pernah membuat kesilapan ketika beliau menyalin syarahan gurunya, Hammad ibn Salamah. Jesteru itu, beliau bertekad untuk mendalami ilmu bahasa Arab supaya beliau tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17, Nina M. Armando. 2005: 202 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Sibawayh kemudiannya belajar ilmu bahasa Arab daripada beberapa orang ahli bahasa Arab. Antara guru-gurunya ialah Isa ibn ‘Umar al-Saqafi al-Basri, al-Akhfasy al-Kabir, Yunus ibn Habib al-Basri, Harun ibn Musa al-Basri, Abu ‘Amru al-Ala’, Abu Zady al-Ansariy dan juga al-Khalil ibn Ahmad ibn ‘Amru ibn Tamim al-Farahidi ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17, Nina M. Armando. 2005: 203 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Sibawayh banyak menghabiskan masanya dengan mempelajari bahasa Arab daripada gurunya yang masyhur iaitu al-Khalil ibn Ahmad ibn ‘Amru ibn Tamim al-Farahidi. Al-Khalil ibn Ahmad merupakan ahli nahu dan juga ahli bahasa Arab yang paling terkenal di Basrah ketika itu iaitu sekitar tahun 175 H/ 792 M. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa Sibawayh menimba keseluruhan ilmu gurunya itu, terutamanya dalam bidang nahu dan soraf. Hubungan Sibawayh dengan gurunya ini begitu akrab sehingga mereka berdua bekerjasama dalam meneruskan perkembangan ilmu bahasa Arab yang seterusnya. Mereka juga bekerjasama dalam mencipta ilmu ‘Arud ( Nina M. Armando. 2005: 20 dan Syawqi Dayf. 1972: 59 ).
4.0 SUMBANGAN SIBAWAYH
Hasil daripada semangat yang jitu serta keazaman yang kuat dalam menuntut ilmu bahasa Arab, Sibawayh akhirnya muncul sebagai salah seorang ahli bahasa Arab yang terkenal. Jumlah keseluruhan bait tulisan Sibawayh adalah sebanyak 1050 tetapi yang dapat diketahui hanyalah 1000 bait sahaja ( Nina M. Armando. 2005: 203 dan Syawqi Dayf. 1972: 63 ).
Kitabnya yang termasyhur ialah “Al-Kitab” atau dikenali juga sebagai “Kitab Sibawayh”. Pada asalnya, kitab ini tidak berjudul, tidak didahului oleh pendahuluan dan ia diakhiri oleh penutup. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kitab ini masih belum siap sepenuhnya disebabkan kewafatan penulisnya pada usia yang begitu muda. Oleh sebab itu, para ilmuan sesudahnya hanya menamakan kitab tersebut sebagai “Al-Kitab” atau “Kitab Sibawayh” ( Nina M. Armando. 2005: 203 dan Syawqi Dayf. 1972: 60 ).
Kitab Sibawayh dikarang ketika asimilasi antara bangsa Arab dan bukan Arab telah lama berlaku. Asimilasi itu sangat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat termasuklah dalam bidang bahasa dan ia juga menjadi kekeliruan dalam bacaan al-Qur’an dan hadith. Ilmu bahasa Arab sebenarnya telah lama bermula iaitu semenjak Saidina Ali ibn Abi Talib memerintahkan Abu Aswad al-Duali untuk menyusun ilmu nahu buat pertama kali. Kemunculan kitab Sibawayh menandakan bahawa telah berlakunya perkembangan dalam bahasa Arab ( Nina M. Armando. 2005: 202 ).
Kitab ini menghimpunkan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip bahasa Arab iaitu merangkumi ilmu nahu, ilmu soraf, kosakata Arab dan gaya bahasanya amat jelas dan mudah difahami yang belum pernah dihasilkan sebelum ini. Kitab ini adalah khazanah ilmu bahasa Arab yang teragung dan tiada tandingannya. Oleh sebab itulah kitab ini sentiasa dijadikan rujukan oleh ahli-ahli nahu yang muncul selepas zamannya. Mereka menyusun buku yang menerangkan dan mentafsirkan kitab tersebut membuat catatan penting pada bait syair yang terdapat di dalam kitab itu. Berikutan itu, para ahli nahu yang muncul selepas zamannya menggelarkan Sibawayh sebagai Iman min A’immah al-Nuhah yang bermaksud salah seorang pemimpin dalam ilmu nahu ( Nina M. Armando. 2005: 203 ).
Sehingga saat ini, kitab Sibawayh masih dipelajari dan diedarkan ke pelbagai kawasan. Kitab ini diterbitkan buat kali pertamanya oleh penerbit al-Amiriyah di Bulaq, India iaitu pada tahun 1317 H/ 1899 M. Kitab Sibawayh terdiri daripada dua jilid dan jumlah halamannya adalah melebihi 900 halaman besar. Kitab ini juga disertai dengan dua lampiran. Lampiran yang pertama adalah karya Abu Sa’id al-Syarafi yang berjudul “ Taliqat Mufidah min al-Syarh al-Masyhur ” yang bermaksud “ Lampiran Penting dari Keterangan Terkenal ”. Manakal karya yang kedua pula adalah al-A’lam al-Syantamari al-Andalusi yang berjudul “ Syarh al-Syawahid ” yang bermaksud “ Keterangan tentang Kutipan ” ( Nina M. Armando. 2005: 203 ).
5.0 KEPERIBADIAN SIBAWAYH
Antara sikap keperibadian Sibawayh adalah seorang yang rajin dan tidak pernah jemu dalam menuntut ilmu. Hal ini terbukti bahawa beliau sanggup berhijrah ke Basrah semenjak usia remaja semata-mata untuk menuntut ilmu. Semasa di Basrah, beliau sering kali menghadiri halaqah ilmu dalam bidang fiqh dan hadith. Hal ini dikuatkan lagi melalui riwayat Al-Nitah yang mengatakan bahawa semasa beliau bersama-sama al-Khalil, Sibawayh telah datang. Al-Khalil telah menyambutnya sambil berkata: “ Selamat datang wahai pelawat yang tidak pernah jemu” ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17 dan Nina M. Armando. 2005: 202 ).
Selain itu, Sibawayh juga seorang yang kuat keazaman dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Semasa Sibawayh menuntut ilmu daripada gurunya, Hammad ibn Salamah, beliau telah melakukan kesilapan ketika menyalin syarahan gurunya. Lantaran itu, atas teguran gurunya, Sibawayh telah bertekad dan berazam untuk mendalami ilmu bahasa Arab dengan bersungguh-sungguh sehingga tiada lagi orang yang akan menyalahkannya. ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17 Nina M. Armando. 2005: 203 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Sibawayh adalah seorang yang pakar dan mahir dalam bidangnya. Sibawayh begitu tekun dalam mendalami ilmu nahu sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Beliau juga berjaya menghasilkan sebuah kitab yang tidak pernah dihasilkan oleh sesiapapun sama ada sebelum mahupun selepas zamannya. Abu ‘Uthman al-Maziniy pernah berkata: “ Barang siapa yang bercita-cita ingin menulis buku dalam bidang nahu yang dianggap lebih hebat daripada buku Sibawayh ini, maka orang itu patut berasa malu.” Riwayat ini menjelaskan bahawa tiada sesiapapun yang mampu menandingi kitab Sibawayh yang begitu agung (As’ad Khalaf al-‘Iwadi. 2009: 15, Ensiklopedia Dunia. 2005:17 dan Syawqi Dayf. 1972: 59 ).
Sibawayh juga adalah seorang yang benar-benar jujur dan boleh dipercayai. Hal ini diceritakan oleh Afwan ibn Muslim bahawa Shu’bah pernah menolak hadith yang diriwayatkan oleh Sibawayh. Lalu Sibawayh berkata: “ Jatuh terhumban dari langit lebih saya suka daripada menipu.” Situasi ini jelas membuktikan bahawa Sibawayh adalah seorang yang benar-benar jujur dan boleh dipercayai” ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17 ).
6.0 GURU-GURU DAN MURID-MURID SIBAWAYH
Pada mulanya, Sibawayh menuntut ilmu hadith daripada gurunya, Hammad ibn Salamah ibn Dinar al-Basri iaitu seorang ahli hadith yang terkenal pada masaanya ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17, Nina M. Armando. 2005: 202-203 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Disebabkan tahap penguasaan bahasa Arab yang terbatas, Sibawayh akhirnya bertekad dan bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu bahasa Arab daripada ulama’-ulama’ dalam bidang tersebut. Antara guru-gurunya adalah Isa ibn ‘Amru al-Saqafi al-Basri iaitu seorang ahli nahu, soraf dan qiraat, al-Akhfasy al-Kabir iaitu seorang ahli bahasa Arab, Yunus ibn Habib al-Basri iaitu seorang ahli nahu yang mengajar beberapa halaqat, Harun ibn Musa al-Basri, seorang ahli qiraat dan Abu ‘Amru al-Ala’, seorang ahli qiraat ( Ensiklopedia Dunia. 2005:17, Nina M. Armando. 2005: 203 dan Syawqi Dayf. 1972: 57 ).
Sibawayh juga banyak menghabiskan masanya dalam menuntut ilmu daripada seorang ahli bahasa Arab iaitu al-Khalil ibn Ahmad ibn ‘Amru ibn Tamim al-Farahidi al-Azdi. Beliau merupakan guru terbesar Sibawayh ( Muhammad Sa’id Mursi. 2010: 377, Nina M. Armando. 2005: 203 dan Syawqi Dayf. 1972: 59).
Manakala di antara murid-murid Sibawayh yang pernah menuntut ilmu daripada beliau ialah Abu al-Hasan al-Akhfash al-Awsat dan Muhammad ibn al-Mustanir yang lebih dikenali dengan panggilan Qutrub ( Ensiklopedia Dunia. 2005:18 dan Syawqi Dayf. 1972: 58 ).
7.0 KESIMPULAN
Setelah dikaji tentang latar belakang kehidupan Sibawayh, maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa begitu besar sumbangan Sibawayh dalam perkembangan ilmu tatabahasa Arab khususnya. Karyanya begitu agung sehingga tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ahli bahasa Arab yang lain. Sehingga kini, kitab beliau masih dijadikan rujukan dan masih dipelajari oleh generasi hari ini.
Sikap keperibadian yang ditunjukkan oleh Sibawayh dalam menuntut ilmu sehingga menjadi pakar dalam bidang yang diterokainya perlu dijadikan contoh dan teladan kepada generasi hari ini terutamanya golongan pemuda-pemudi yang bakal mencorak masa depan negara di masa hadapan. Kepakaran dalam ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi mampu membawa manusia sejagat menuju kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat serta membimbing ummah ke jalan yang diredhai-Nya.
8.0 RUJUKAN
Abu Bishr ‘Amru ibn ‘Uthman ibn Qanbar. 1968. Kitab Sibawayh. Al-Qahirah: Dar al-Katib al-‘Arabi.
As’ad Khalaf al-‘Iwadi. 2009. Al-Ilal al-Nahwiyyah fi Kitab Sibawayh. Jordan: Dar al-Hamid li al-Nisyar wa al-Tauzi’.
Dalkhukh Husin. 2007. Al-Bahth al-Dilali fi Kitab Sibawayh. Jordan: Dar al-Dajlah.
Ensiklopedia Dunia. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koninklijke Brill. 1997. The Encyclopaedia of Islam. Leiden: The Netherlands.
Michael G. Carter. 2004. Sibawayhi. London. I. B. Tauris.
Muhammad Sa’id Mursi. 2010. Tokoh-tokoh Besar Islam Sepanjang Zaman. Terj. Azlina Roslan. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication.
Nina M. Armando. 2005. Ensiklopedi Islam. Jakarta: PT Ochtiar Baru van Hoeve.
Syawqi Dayf. 1972. Al-Madaris Al-Nahwiyyah. Mesir: Dar al-Ma’arif
Terbaik sibaweyh ni... org arab pakai kotabnya smpai skrg
ReplyDeleteTerbaik sibaweyh ni... org arab pakai kotabnya smpai skrg
ReplyDelete